Monday, 25 April 2016

Unsur Simbol dalam Cerita-cerita Binatang

Unsur Simbol Dalam Cerita- Cerita Binatang


1.0       PENDAHULUAN
Dewasa ini kritikan sastera telah diterima sebagai satu disiplin ilmu saintifik, yang membicarakan soal penghayatan, penganalisisan dan penilaian terhadap sesebuah karya kreatif. Ia dikatakan ilmu yang saintifik, kerana menggunakan pendekatan atau  metodologi sewaktu membuat kritikan. Sesiapa sahaja boleh melakukan kritikan setelah membaca sebuah karya, baik apa jua genre, sajak atau drama, asalkan menggunakan mana-mana teori, pendekatan, kaedah dan metodologi kritik sastera. Secara am, penghayatan dalam kritikan sastera bermaksud apresiasi, pengamatan, tanggapan, perasaan serta pemikiran yang terjelma daripada reaksi bacaan. Seseorang itu mungkin berasa berminat atau terpikat semasa menikmati sesebuah karya. Begitu juga dengan sebaliknya, seseorang itu mungkin merasa bosan, tidak puas hati atau apa-apa sahaja perasaan negatif yang lainnya.
            Ada juga yang berpendapat kritik sastera juga termasuk dalam ruang lingkup kajian sastera. Ini bermakna kajian sastera itu merangkum sejarah, teori dan kritik sastera. Ketiga-tiganya mempunyai kaitan dalam usaha mndekati kesusasteraan, Cuma bidang dan pendekatannya sahaja yang berbeza. Di samping itu, kritik sastera juga berfungsi untuk menilai sesebuah karya, dan untuk menilai sesebuah karya sudah pasti memerlukan teori nilai yang dikemukakan oleh teori sastera. Teori sastera pula berfungsi dalam membina dan menegakkan teori seperti teori perwatakan yang sesuai dan kuat.
            Tambahan itu, kritik sastera sudah diterima sebagai satu bidang yang amat penting dan berguna  bagi melihat tinggi rendahnya mutu sesebuah karya serta maju mundurnya seorang penulis di samping menilai kerja keseluruhan pengkaryaan sesuatu bangsa. Tamadun selalu bersimpati kepada bangsa yang maruahnya dicemerlangkan oleh kegiatan penulisan karya kreatif dan kritik sastera selalu memberikan arah yang berani dan bijak terhadap kemajuan kerja-kerja proses penciptaan. Sesebuah karya yang sudah siap akan menjadi milik masyarakat yang terdiri dari pelbagai lapisan, berbeza pendidikan, berjalur tanggapan dan sebagainya. Dalam zaman feudal, sastera dicipta untuk golongan istana dan rakyat jelata. Mereka menerima karya-karya sastera sebagai milik bersama dan aspek penghayatan yang hampir sama.
            Dalam mengkritik sesebuah karya tokoh-tokoh seperti Plato, Aristotle, Longinus, Quintus HoratiusPlaccus dan Mrcus Fabius Quintilianus menekankan kebijaksanaan memilih tema yang baik, pemikiran yang rasional, kata-kata yang hidup dan aduan yang kaya tekniknya akan menjamin sebuah karya yang besar dan tinggi mutunya. Seterusnya unsur moral dan keindahan mestilah diolah secara lisan dan fungsi utama penulis ialah mengajar dan memberikan hiburan. Seorang pengkritik juga haruslah berakal sihat dan jujur, jika tidak dia tidak akan dapat melakukan penilaian dengan cukup sihat dan jujur.

            Karya yang baik bertitik tolak daripada isi dan cara penyampaian yang baik. Karya yang dihasilkan juga perlu diolah dengan betul dan mempunyai unsur moral yang dapat diketengahkan. Cerita binatang Melayu merupakan sastera rakyat yang berbentuk lisan yang disampaikan secara lisan dari generasi ke generasi yang akan datang. Cerita binatang ini dikatakan cerita tertua, sama usianya dengan cerita asal usul. Cerita binatang ialah hasil sastera lisan yang diwarisi daripada masyarakat manusia sejak zaman purba semasa manusia masih lagi hidup di gua-gua. Adapun cerita binatang ini sukar untuk menentukan tetang asal usul cerita binatang itu sebenarnya.
           




2.0       ANALISIS DATA

Bertitik tolak daripada kajian ini, unsur simbol dalam cerita binatang akan diketengahkan, unsur simbol ini akan menjelaskan bagaimana dalam cerita- cerita binatang Melayu binatang menjadi watak utama yang dipersonifikasikan, perlakuan watak binatang itu akan menjadi simbol dalam kehidupan dan citra masyarakat. Semua sifat yang dimiliki oleh manusia biasa dimiliki oleh binatang dalam cerita-cerita binatang Melayu seperti bercakap, menipu, berbincang, berfikir dan sebagainya. Dalam cerita-cerita tersebut terdapat kisah yang berlaku antara binatang sesama binatang dan terkadang-kadang peristiwa terjadi antara binatang dengan manusia.watak manusia dalam cerita-cerita binatang Melayu hanya sebagai watak sampingan sahaja.
Sebahagian daripada cerita binatang adalah bercorak mitos yang membicarakan tentang asal usul binatang. Cerita binatang juga menceritakan konflik antara binatang atau antara binatang dengan manusia. Cerita binatang Melayu memberi gambaran bahawa walaupun binatang yang kecil dan lemah dapat menewaskan binatang yang besar dan kuat dengan menggunakan akal fikiran yang menjadi senjata untuk menentang binatang yang besar dan kuat itu.
       Cerita binatang adalah salah satu genre crita rakyat Melayu yang popular. Cerita-cerita ini ditokohi oleh binatang yang dapat bertutur dan berakal budi seperti manusia. Cerita begini bukan sahaja terdapat dalam masyarakat Melayu, malahan setiap kebudayaan memiliki tokoh binatangnya sendiri yang memegang watak utama dalam cerita-ceritanya. Dalam kalangan masyarakat Eropah binatang tersebut ialah musang, dalam masyarakat Amerika  pula ialah arnab, sementara masyarakat Melayu mengenali sang kancil atau pelanduk. Binatang-binatang ini mempunyai sifat tersendiri meliputi cerdik, jenaka, dan bodoh. Dalam masyarakat Melayu, cerita binataang yang paling dikenali ialah cerita-cerita sang kancil. Cerita-cerita sang kancil yang cerdik itu tersebar luas sehingga binatang ini dikaitkan dengan sifat cerdik dan licik pada manusia iaitu ‘akal kancil’.
            Unsur simbol dalam cerita binatang akan ditelusuri lebih mendalam melalui kajian ini dengan menggunakan pendekatan moral. Moral ialah satu konsep yang telah dirumuskan oleh sebuah komuniti, sosial atau budaya bagi menentukan kebaikan dan keburukan. Ia merupakan satu norma tentang kehidupan yang diberi kedudukan istimewa dalam kegiatan sesebuah komuniti, sosial atau budaya itu. Tegasnya, norma inilah yang menentukan gerak kerja ahli-ahlinya dan biasanya berlandaskan sesuatu yang mulia, dihargai dan mempunyai prestij (Sidi Ghazalba, 1974 dan Jack Glickman, 1976).
           
2.1       Pendekatan
            Pendekatan moral atau disebut juga moralistik berpendapat bahawa hasil sebuah karya sastera adalah ciptaan yang harus disanjung dan dimuliakan. Ia berbeza dengan hasil seni yang lain seperti tarian, nyanyian ukiran dan lukisan. Kemuliaan sesebuah karya adalah disebabkan oleh adanya unsur-unsur falsafah, pemikiran atau premis yang menjadi tulang belakang karya tersebut. Karya yang baik haruslah bermoral, dan ketinggian sebuah karya pula bergantung pada ketinggian moral tersebut. Justeru, sesebuah karya sastera itu wajib mempunyai moral kerana ia merupakan neraca yang menentukan nilainya.
            Pendekatan moral lebih mementingkan isi daripada bentuk. Aspek isi ialah cerita dan persoalan yang dibincangkan dalam karya. Isi karya pula ditentukan  oleh corak dan aliran masyarakat waktu itu lebih-lebih lagi persoalan yang menjadi topik semasa. Pendekatan moral melihat sastera sebagai suatu sumbangan ke arah pembentukan masyarakat yang sensitif dengan zamannya, dengan kecenderungan itu, pndekatan ini melihat nilai sastera banyak bergantung kepada aktiviti dan tendensi masyarakat. Natijah daripada sikap tersebut, pendekata moral menghargai kesusasteraan terlibat atau sastera komitmen. Prinsip pendekatan moral menekankan juga unsur didaktis. Menurut Karl Beckson dan Arthur Ganz (1972), didaktis dalam sastera ialah karya yang mengandungi unsur-unsur pengajaran dan doktrin yang boleh memandu para pembaca ke sesuatu arah dan tujuan. Sama ada arah dan tujuan itu kepada sosial, pendidikan, politik atau apa jua, yang penting karya itu mempunyai unsur-unsur yang boleh mengajak para pembaca berfikir dan mengikiut landasan yang telah ditentukan. Sesungguhnya moral itu bererti mendidik, mengajar, membimbing dan memandu pembaca dan juga penulisnya.
            Dalam setiap karya. Terdapat pendekatan moral yang terkandung di dalamnya. Nilai baik buruk yang terpapar meneliti personaliti dan jalinan penceritaan yang dikemukakan. Karya yang bertitik tolak terhadap nilai moraliti dapat bertindak sebagai pendukung kepada aspek pengajaran dan memperlihatkan sebuah sastera yang bukan sahaja bertujuan sebagai hiburan, mempamer keindahan malah bersifat mengajar atau didaktik. Jika sastera hanya dilihat sebagai hiburan, apa yang diperoleh hanyalah hiburan semata. Namun apabila sastera dibaca, dihayati dan dianggap sebagai karya yang member nilai dan pengajaran maka karya sastera itu sudah menjadi sesuatu ilmu yang dapat dimanfaatkan begitu juga dengan kritikan.          Kritikan bukan sahaja untuk mengkritik aspek kelemahan malah melalui kritikan juga dapat mengangkat nilai dalam masyarakat. Juga memberitahu masyarakat tentang suatu maklumat yang tidak diteliti secara mendalam. Melihat kepada falsafah dan ideologi yang dibawa oleh pengarang melalui karya, pengarang menyelitkan unsure-unsur ilmiah supaya pembaca dapat memahami dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Melalui kajian ini, aspek moral amat ditekankan untuk pengajaran kerana cerita binatang merupakan salah satu cara penulisan atau sastera diungkapkan bagi tujuan memberitahu kepada masyarakat setrusnya menggunakan simbol binatang untuk mendidik masyarakat secara tidak terus.moral tidak semestinya ditumpukan kepada sesuatu yang baik semata-mata malah aspek negatif itu sendiri memiliki moral yang dapat dijadikan sebagai renungan.
            Cerita binatang biasanya mempunyai pengajaran tertentu kerana sifat-sifat yang diberikan kepada binatang adalah sama seperti manusia. Oleh hal yang demikian, segala tindakan yang dilakukan oleh binatang adalah sama seperti manusia. Justeru, segala tindakan yang dilakukan oleh binatang boleh dijadikan sebagai binatang kepada manusia. Cerita binatang menggambarkan kehidupan dalam kelompok binatang tetapi digambarkan mempunyai sikap-sikap yang ada pada manusia, perasaan dan perbuatan seperti manusia. Oleh itu, melalui cerita binatang, secara tidak langsung menggambarkan masyarakat yang ada pada zaman itu.
Cerita binatang Melayu adalah merupakan sastera rakyat (sastera lisan) yang disampaikan atau disebarkan secara lisan dari satu generasi kepada generasi yang akan datang. Cerita binatang ini dipercayai cerita tertua, sama usianya dengan cerita asal usul. Cerita binatang ialah hasil sastera lisan yang diwarisi daripada masyarakat sejak zaman purba semasa manusia masih hidup di gua-gua. Adapun cerita binatang ini skukar untuk menentukan tentang asal usul cerita binatang itu yang sebenarnya. Cerita-cerita binatang Melayu mengambil binatang sebagai watak utama yang dipersonafikasi, binatang itu boleh bercakap dan berinteraksi dengan manusia. Semua sifat yang dimiliki oleh manusia biasa dimiliki oleh binatang dalam cerita-cerita Melayu seperti bercakap, menipu, berbincang, berfikir dan sebagainya. Dalam cerita-cerita tersebut terdapat kisah yang berlaku antara binatang sesama binatang dan terkadang lakonannya terjadi antara binatang dengan manusia.
 Semua sifat yang dimiliki oleh manusia biasa dimiliki oleh binatang dalam cerita-cerita binatang melayu seperti bercakap,menipu,berbincang,berfikir dan sebagainya. Dalam cerita-cerita tersebut terdapat kisah yang berlaku antara binatang sesama binatang dan terkadang-kadang lakonannya terjadi antara binatang  dengan manusia. Watak manusia dalam cerita-cerita binatang melayu hanya sebagai watak sampingan sahaja. Sebahagian daripada cerita binatang itu bercorak mitos yang membicarakan tentang asal usul binatang. Cerita binatang juga mengisahkan tentang konflik antara binatang  dengan binatang atau antara binatang dengan manusia. Cerita binatang melayu memberi gambaran bahawa walaupun binatang yang kecil dan lemah dapat mengalahkan binatang yang besar dan kuat dengan menggunakan akal fikiran yang dapat menjadi senjata untuk menentang binatang yang besar dan kuat itu.























3.0       Dapatan Kajian

Data 1: Cerita Anjing dengan Bayang-Bayang

Cerita Anjing dengan Bayang-Bayang ini mengkritik masyarakat yang tamak. Dalam kehidupan sehari-hari sudah tentu wujud masyarakat yang tidak pernah rasa cukup dalam kehidupan mereka. Rasa ingin lebih daripada orang lain selain tidak mensyukuri nikmat yang telah dipunya di depan mata. Lantas dengan ketamakan itu, bukan sahaja akan merugikan diri sendiri malah akan dipandang rendah oleh masyarakat yang lain. Oleh hal yang demikian, sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, sifat besederhana dan bersyukur perlu ada dalam diri supaya tidak berlaku sesuatu yang lebih merugikan ibarat kata pepatah yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Jelaslah melalui cerita binatang ini bertepatan dengan nilai pengajaran yang mulia. Menurut Leo Tolstoy, tugas kesusasteraan yang paling disegani oleh seni yang lain ialah aspek pengajarannya.
            Simbol anjing dalam cerita binatang juga digunakan sebagai satu pengertian yang amat mendalam. Seperti yang diketahui, masyarakat dunia mengenali anjing sebagai binatang yang sangat patuh dan setia. Namun bagaimana, kepatuhan dalam dirinya goyah hinggakan boleh tercabar dengan bayang-bayangnya sendiri. Perkara seperti ini yang biasanya berlaku dalam diri manusia. Keyakinan yang tidak kukuh sentiasa akan mengganggu kemampuan dan kebolehan dalam diri sendiri. Percaya dengan apa sahaj yang telah terbukti lebih baik dari mendengar dan menginginkan sesuatu yang massih tidak pasti.

Data 2: Cerita Helang dengan Ayam
 
Cerita Helang dengan Ayam menekankan unsur kejujuran dalam hidup. Sikap jujur dalam diri seseorang mampu menjadikan individu itu seorang yang dipandang mulia. Apabila kejujuran dijadikan sebagai landasan hidup, maka masyarakat lain akan memberikan kepercayaan kepada mereka. Simbol ayam atau watak ayam dalam cerita ini adalah melambangkan manusia yang tidak jujur dalam hidupnya dan simbol helang menggambarkan masyarakat pendendam yang tidak mahu memaafkan kesalahan temannya. Melalui cerita binatang ini, masyarakat sekaligus dapat menilai aspek moral melalui pendekatan moral yang mencakupi karya sastera yang mampu untuk memberi sumbangan bagi meninggikan nilai tamadun manusia, membangunkan aspek-aspek kemasyarakatan, mencemerlangkan aspek bangsa dan mepertingkat nilai moral. Melalui cerita Helang dengan Ayam ini misalnya, setelah membaca dan mengetahui kisahnya, masyarakat perlu mengambil pengajaran supaya jangan  dek kerana satu perkara yang kecil sebuah persahabatan yang akrab bertukar menjadi musuh.
            Tambahan itu, unsur pengajaran yang terdapat dalam cerita binatang ini sedikit sebanyak mengutarakan tentang pendekatan moral yang menekankan tentang sumbangan karya sastera dalam pembentukan masyarakat yang sensitif atau masyarakat yang mengambil berta terhadap masyarakat yang lain.

Data 3:  Cerita Katak Membunuh Gergasi

Pengkaji melihat cerita binatang ini sebagai satu gambaran moralistik yang padu apabila nilai moral digambarkan oleh penulis dengan meletakkan simbol binatang yang menjadikan jalan cerita ini menjadi menarik dan memberi iktibar kepada pembaca. Jika pembaca meneliti tajuk cerita ini, pasti pembaca akan merasa tertanya-tanya. Hal ini demikian kerana, umum mengetahui gergasi adalah makhluk yang mempunyai fizikal yang sangat besar, mempunyai kekuatan yang luar biasa ditambah lagi dengan konotasi gergasi dari Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) yang mencirikan bahawa gergasi ialah sejenis makhluk yang suka makan orang, raksasa bersiung atau dikenali juga sebagai bota. Tajuk yang digunakan sahaja sudah menjadikan pembaca sangat tertarik untuk mengetahui kisah selanjutnya. Besar, kuat, gagah bukanlah daya ukur untuk melihat kekuatan seseorang. Moralnya, kebijaksanaan dan kerjasama juga merupakan penentu bagi kejayaan dalam setiap apa yang dilakukan. Sebagai contohnya, dalam dunia masa ini, manusia yang mempunyai pangkat, darjat dan harta tidak semestinya dipandang mulia oleh setiap orang dan tidak semestinya manusia berpangkat itu sentiasa berada dalam keadaan yang bahagia. Masyarakat yang mengalami kesusahan juga tidak semestinya sentiasa berada dalam kesusahan.
Hidup di dunia iini mempunyai percaturannya, adakala masyarakat yang susah itu diuji dengan kesusahan namun mereka tidak perlu khuatir dengan masalah yang di alami oleh golongan yang senang. Selain itu, kecil dalam konotasi kehidupan bukan bereti lemah atau lambang kepada kekalahan. Dalam cerita binatang Katak Membunuh Gergasi ini, watak kecil seperti semut, burung pupur, dan katak menjadi elemen atau simbol kepada masyarakat yang kecil namun boleh menewaskan gergasi yang menjadi lambang masyarakat berdarjat. Semut yang kecil mampu untuk menewaskan gergasi. Ini juga boleh dikaitkan dengan golongan rakyat yang menjadi penyumbang kepada kemajuan negara. Contohnya pembangunan, pembangunan negara tidak akan berlaku tanpa ada rakyat yang menjadi tenaga kerja, pencetus idea dan pengguna.
Hasil kerjasama dengan semua permasalahan yang besar akan dapat diselesaikan. Sebagai masyarakat yang tergolong sebagai masyarakat berkuasa pula, mereka tidak seharusnya menjadikan masyarakat biasa sebagai tempat mangsa kepada masalah yang mereka hadapi. Cerita binatang ini juga menyindir tentang individu yang berkuasa akan jatuh juga pada masanya jika mereka melakukan kejahatan atau tidak amanah dalam tanggungjawab mereka.
Oleh hal yang demikian, cerita ini bukan sahaja menarik tapi memaparkan pelbagai nilai moral yang seharusnya dijadikan pedoman dalam masyarakat untuk menjadi masyarakat yang sentiasa bertimbang rasa dan berperibadi mulia.

Data 4: Arnab dengan Kura-Kura
           
Melalui cerita binatang Arnab dan Kura-kura ini, mempamer perkaitan yang erat terhadap pendekatan moral yang ingin dijelaskan. Masyarakat sentiasa mengagungkan watak masyarakat yang kuat dan melihat kekuatan itu sebagai lambang kejayaan. Namun melalui cerita ini, kura-kura membawa simbol masyarakat yang lemah dan arnab membawa simbol masyarakat yang cepat atau lebih kuat. Dalam kehidupan ini, kelemahan yang ada bukanlah sesuatu yang boleh dihina. Kelemahan merupakan salah satu ujian untuk terus bangkit dan berusaha mengatasi sekaga kekangan. Kehidupan juga merupakan satu pelajaran. Jatuh bangun seseorang itu bukan didukung oleh kekuatan orang lain, akan tetapi ia datangnya dari dalam diri sendiri. Setiap manusia dijadikan dengan kelebihan masing-masing. Masyarakat tidak boleh hanya memandang seseorang itu berdasarkan dengan fizikal luaran sahaja. Seperti simbol kura-kura yang dianggap lemah, namun siapa tahu masyarakat yang mempunyai sifat seperti itu mempunyai naluri dan kesungguhan yang sangat tinggi. Apabila menyoroti cerita ini, ianya sangat bersesuaian juga dengan teori Humanistik Abraham Maslow yang menyatakan tentang kesempurnaan kendiri. Bagaimana masyarakat itu berusaha untuk mengatasi kelemahan mereka dengan segala daya.
            Selain itu simbol arnab yang membawa gambaran lebih kuat dari kura-kura merupakan simbol kepada masyarakat yang dikurniakan fizikal yang kuat dan individu yang dianggap kuat ini tidak akan sentiasa berada di atas. Sebarang kegagalan yang dilalui harusnya dianggap sebagai satu ujian supaya masyarakat terus istiqomah dalam mengerjakan sesuatu. Barangkali kegagalan itu merupakan satu pengalaman yang diberi supaya dapat merasai apa itu kegagalan dan memupuk diri agar sentiasa ingat siapa yang berada di bawah tatkala diri mereka berada di atas.

Data 5:            Kura-kura dan Helang
Dalam kajian ini, pengkaji menemukan tentang kepentingan berfikir sebelum bertindak. Simbol kura-kura melambangkan masyarakat yang bersikap suka untuk mengetahui setiap sesuatu. Memang tidak salah untuk mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi. Hal ini bertepatan dengan pendekatan psikoanalisis yang menekankan tiga unsur psikologi iaitu id, ego dan super ego. Menurut Robert D. Nye, (1992:16) id ialah bahagian personaliti yang paling primitif. Ia merupakan sistem asal yang datang bersama bayi dan tidak tahu apa itu betul dan salah. Justeru, menurut Terry Eagleton (1998:176) tuntutan id rakus dan tidak pernah puas. Sehubungan ini, Mahmood Nazar Mohamed (2001:261) mengatakan id adalah dorongan biologikal dan tenaga naluri manusia untuk berbuat apa sahaja yang dikehendakinya. Seharusnya manusia perlu bersyukur dengan apa yang mereka punyai sebelum berfikir untuk berkehendakkan sesuatu yang di luar kemampuan dan fitrah. Seperti yang masyarakat ketahui kura-kura adalah sejenis haiwan yang tinggal di darat dan bukan di udara. Namun, atas desakan dan kemahuan dirinya, dia cuba untuk terbang tinggi.
 Dari segi moralnya, kebolehan yang dipunyai oleh setiap seorang itu tidak sama dengan yang lain. Apa yang boleh membezakannya adalah bagaimana seseorang itu menggunakan kebolehan yang telah dikurniakan kepadanya. Analogi yang boleh dibawa dalam cerita ini adalah. Apabila kita memperoleh baju yang mahal dan cantik, namun baju itu tidak muat pada badan kita sudah tentu kita tidak dapat memakainya.

Data 6: Gagak dengan Jag Air

Pendekatan moral yang terdapat dalam kisah ini ialah bagaimana usaha yang tidak putus itu akan menjadikan sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan. Berfikir secara kreatif dan kritis pada saat-saat yang genting juga dapat menjadikan seseorang itu lebih cekap dan mempunyai pelbagai idea. Simol burung gagak yang digunakan dalam cerita ini memperihal bagaimana burung yang dianggap pemakan bangkai itu mampu untuk berfikir dengan bernas dan itu merupakan satu sindiran kepada masyarakat. Lebih-lebih kepada individu yang berilmu, akal yang dikurniakan oleh Tuhanbukanlah untuk disia-siakna tetapi untuk digunakan supaya boleh berfikir dan melakukan kebaikan. Orang tua-tua pernah mengingatkan satu pepatah Melayu yang berbunyi sedikit-sedikit lama-lama menajdi bukit, dan rezeki tidak akan datang dengan bergolek jika tidak berusaha untuk mendapatkannya.
            Justeru, cerita ini mampu untuk memberi moral kepada masyarakat seterusnya menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan berusaha dan berikhtiar dalam menjalani kehidupan supaya lebih mapan.

Data 7:            Sang Kancil dengan Buaya

            Berdasarkan cerita binatang Sang Kancil dengan Buaya, pengkaji mendapati cerita ini ditulis untuk menyatakan bahawa akal yang cerdik mampu untuk menewaskan kekuatan fizikal. Tipu helah juga wujud bukan hanya pada kisah ini namun wujud dalam realiti kehidupan masyarakat. Disebabkan oleh itu, terdapat simpulan bahasa yang disebut ‘akal kancil’ untuk menggambarkan seorang yang licik dan mempunyai akal yang dapat menipu. Tipu helah boleh digunakan demi kebaikan dan keselamatan namun tidak boleh diamalkan kerana ianya bukanlah satu nilai moral yang baik untuk dicontohi. Simbol buaya menggambarkan masyarakat yang tamak dan mudah terpedaya dengan kata-kata. Di samping itu, peranan pemerintah sangat besar dilihat melalui cerita ini. Hal ini juga terdapat pada kehidupan manusia. Biasanya masyarakat akan lebih mendengar sesuatu maklumat apabila ianya disampaikan oleh orang yang telah mereka percayai seperti pemimpin.
            Namun begitu, wujud juga masyarakat pendendam, rasa dendam tidak boleh disimpan di dalam sanibari manusia. Kerana dendam akan memakan diri dan membuat seseorang itu rasa sentiasa tidak puas dengan apa yang mereka punyai.

Data 8:                        Singa dan Tikus
           
Umum mengetahui bahawa singa merupakan raja di rimba. Simbol singa merujuk kepada kekuasaan. Pemerintah dan mempunyai kekuatan. Tikus pula merupakan haiwan kecil yang sangat kerdil dan menjadi makanan banyak binatang pemakan daging yang lain. Namun bagaimana tikus yang kecil dapat membantu singa yang besar. Cerita binatang ini mengaitkan tentang masyarakat. Dalam sebuah institusi kemasyarakatan sudah tentu terdapat sub golongan yang terdiri daripada pemerintah, dan rakyat. Apabila pemerintah berjasa dan membantu masyarakat. Masyarakat tidak akan segan silu untuk sama-sama membantu pemerintah.
            Kebaikan yang kecil tetap akan beroleh balasan yang besar. Inilah nilai moral yang ditekankan dalam cerita binatang singan dan tikus. Raja atau pemerintah yang adil sangat dihormati oleh masyarakat. Menurut buku Sejarah Melayu, “ raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”.

Data 9:                        Belalang dengan Semut

            Semut adalah salah satu haiwan kecil yang biasanya hidup berkoloni. Semut selalu berjalan beriringan antara satu sama lain. Terdapat beberapa perkara sebenarnya yang bolah diteladani berdasarkan sikap semut dan boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Semut tidak pernah mengenal erti putus asa. Saat mereka berjalan, berjalan dengan beriringan kemudian jika manusia menghalang perjalanannya dengan apa apa enda mereka akan menukar laluan dan kekal berjalan beriringan.
            Semut juga tidak pernah malas. Sikap ini ada dikisahkan dalam cerita binatang belalang dan semut. Setiap hari semut bekerja dan mencari makanan untuk keperluan hidupnya. Simbol semut menggambarkan masyarakat yang rajin berusaha dan sentiasa menyediakan payung sebelum hujan. Manakala binatang membawa simbol manusia yang suka bersuka ria dan melengah-lengahkan masa. Peluang yang ada tidak digunakan dengan baik dan tika dilanda kesusahan masyarakat yang suka berlengah akan menyesal dan suka meminta-minta.
            Pengkaji melihat pendekatan moral yang dibawa dalam cerita ini dan tanpa disedari pengkaji sendiri mendapati bahawa, terdapat banyak masa yang dilengah-lengahkan terutama ketika berada pada usia muda, sentiasa inginkan keseronokan tanpa mengingati tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan. Apatah lagi jika individu itu ialah mahasiswa, sudah tentu banyak janji dan amanah yang perlu dilunaskan. Justeru, untuk mengelakkan kesukaran pada masa akan datang, lebih baik berusaha bersungguh-sungguh, bersusah susah dahulu bersenang senang kemudian.


Data 10:          Ketam dan Ibunya
           
Menerusi cerita Ketam dan ibunya ini, pengkaji melihat nilai moral yang lebih menekankan kepada memberi contoh adalah lebih baik daripada menyuruh. Sesuatu perbuatan yang baru dan ingin diajarkan sepatutnya di ajar oleh seseorang yang mahir dan tahu akan apa yang ingin disampaikan. Bukannya pengajar itu sendiri kekeok atau tidak tahu bagaimana untuk mengajar dan hanya menyuruh pelajarnya sambil mengarah itu dan ini. Jika kita lihat pada watak ibu ketam, ibu ketam membawa simbol pengajar atau masyarakat yang memerintah. Manakala anak ketam merupakan gambaran masyarakat biasa atau pengikut.
Biasanya, pengikut akan hanya menurut apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah. Begitujuga dalam sebuah institusi kekeluargaan. Ibu dan bapa merupakan contoh teladan kepada anak-anak. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh kedua ibu bapa merupakan satu perkara yang bagi anak-anak adalah perbuatan yang mereka anggap betul, kerana ibu bapa merupaka guru pertama dalam kehidupan mereka. Oleh itu, ibu bapa harus peka dengan setiap perbuatan yang mereka lakukan supaya mereka tidak melakukan perkara yang tidak elok dan akan dicontohi oleh anak-anak. Selain itu, peranana guru kepad pelajar juga adalah penting dalam memberi ilmu yang bermanfaat. Bak kata pepeatah Melayu “Berburu ke padang datar nampak rusa berbelang kaki,  Berguru kepalang ajar bagai bunga kembang tak jadi.






4.0       Kesimpulan
            Dalam kesusasteraan Melayu, cerita-cerita binatang yang bersifat etiological memang wujud tetapi dikelompokkan oleh para sarjana sebagai cerita asal usul atau mitos. Bagaimanapun, kelompok mitos tidak dianggap suci atau benar-benar terjadi. Ceritanya berkisar tentang mengapa hidung anjing sentiasa basah, mengapa kucing menimbus najisnya, mengapa kambing mengembek dan sebagainya. Namun dalam cerita binatang yang dikategorikan dalam sastera rakyat, cerita lebih menekankan kepada unsur moraliti atau sindiran kepada masyarakat. Masyarakat dahulu, tidak menyindir individu lain dengan secara terus namun menggunakan elemen lisan dan tulisan sebagai wahana untuk menasihati dan memberi pengajaran kerana di dalam karya seperti cerita binatang terkandung pelbagai nilai pengajaran selaras dengan konsep pendekatan moral yang diterapkan dalam kajian ini.

  
Bibliografi


Arba’ie Sujud, Nik Rafidah Nik Muhammad Affendi, Asiah Abdul Rahman, 2011. Sastera Melayu Suatu Pengantar. Kuala Lumpur: TINTA PRESS SDN. BHD
           
Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
           
Kisah Dongeng Haiwan, 2014. Selangor: PTS ONE SDN.BHD.
           
Noreha Yussof Day, 2014. Bijaknya Kancil. Selangor: PTS ONE SDN.BHD.





No comments:

Post a Comment